15 kesalahan dikesan dalam lima hari

0

Skim Kawalan Harga Gawai di Miri catat RM2,150 kompaun, RM1,656 nilai rampasan

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Miri mengeluarkan kompaun sebanyak RM2,150 serta merampas barangan bernilai RM1,656 dalam tempoh lima hari pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Gawai 2015.

Timbalan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Penguatkuasaan Negeri Sarawak, Abdul Hafidz A. Rahim berkata, sebanyak 12,695 premis sekitar Miri diperiksa dan daripada jumlah itu, 15 kesalahan dikesan dalam operasi pemeriksaan skim berkenaan pada 24 hingga 28 Mei lalu.

“Daripada jumlah kesalahan itu, 14 kes membabitkan peniaga melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan satu kes Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Bagi kes AKHAP 2011, nilai jumlah rampasan bernilai RM1,656.8 manakala rampasan di bawah ATS 1972 berjumlah RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan yang dirasmi Menteri Perhubungan Datuk Lee Kim Shin di Emart semalam.

Abdul Hafidz menambah, skim kawalan itu berkuat kuasa selama 10 hari mulai 24 Mei hingga 2 Jun berbanding sebelum ini selama tujuh hari.

Sebanyak 13 barangan disenarai terkawal iaitu ayam hidup, ayam standard sembelih, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat, bawang merah, bawang putih dan daging babi.

Sementara itu Lee mengingatkan peniaga agar mematuhi harga kawalan ditetapkan dan tidak menaik harga berikutan perlaksanaan Cukai Perkhidmatan Barang atau GST.

“Peniaga diwajib menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas  barangan,” katanya.