4,612 peserta bakal menyertai larian amal tHe Spring

0

KUCHING: Acara larian ‘Live Active Run’ anjuran Pusat Beli-belah tHe Spring mendapat penyertaan menggalakkan dengan seramai 4,612 peserta dan jumlah diterima mengatasi yang dicatat pada penganjuran tahun lalu.

tHe Spring menerusi kenyataan akhbarnya di sini semalam berkata, acara larian bakal berlangsung lebih kurang dua minggu itu turut mendapat sokongan penaja, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) buat julung kali memperkenal kategori Larian Korporat 10km.

Acara larian bagi kategori Larian Korporat 10km bakal menyaksikan seramai 800 pelari antaranya dari Sarawak Energy Berhad (SEB), CMS Berhad dan HGST Malaysia Sdn Bhd dan ramai lagi.

Selain itu, ia juga bakal disertai seramai 552 pelajar dari 11 sekolah yang terlibat antaranya dari SMK Kuching High mencatat penyertaan teramai iaitu 138 pelari.

Acara larian amal itu bertujuan meraih dana dan sumbangan masyarakat prihatin untuk disalurkan kepada beberapa organisasi amal seperti Persatuan Autistik Kuching (KAA), Special Olympic Sarawak dan Persatuan Dialisis Cahaya Kuching.

Bagi peserta larian yang telah berdaftar, anda boleh mengambil pek larian pada 12 Jun (Sabtu) atau 13 Jun (Ahad) bermula jam 11 pagi hingga 10 malam di South Court pusat beli belah itu.

Setiap peserta larian dinasihati mempamer kad pengenalan diri atau pasport atau bukti pengesahan emel atau kod bar pengesahan ketika hendak mengambil pek larian.

Manakala bagi peserta turut menjadi wakil peserta atau ahli keluarga lain mengambil pek larian diminta membawa bukti surat kebenaran dengan memuat turun Surat Kebenaran Pek Larian Lebih dari satu menerusi laman sesawang rasmi acara itu.

Untuk sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pengurusan tHe Spring di talian 082-238111 atau layari laman sesawang di alamat: www.liveactiverun.com.