4WD jadi sasaran perbuatan khianat

0

RENTUNG: Dua 4WD dijilat api akibat perbuatan khianat menggunakan ‘molotov cocktail’ awal pagi semalam.

SIBU: Dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan sebuah teksi yang diparkir di hadapan sebuah hotel di Jalan Pahlawan di sini terbakar selepas dipercayai diserang dengan ‘molotov cocktail’ awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.10 pagi itu, seorang pengawal keselamatan di hotel berhampiran kebetulan ternampak dua lelaki menunggang sebuah motosikal menghampiri salah sebuah 4WD berkenaan.

Menurut sumber, beliau kemudian mendapati pembonceng motosikal terbabit membawa tukul dan bertindak memecah cermin sisi kenderaan itu.

Melihat kejadian itu, pengawal keselamatan terbabit menjerit ke arah lelaki bertopi keledar berkenaan, namun beliau pula yang dikejar suspek dengan tukul.

Dia kemudian berlari masuk ke hotel dan mendapatkan bantuan dua kakitangan hotel itu.

Apabila keluar semula, mereka mendapati suspek membaling sesuatu dipercayai ‘molotov cocktail’ ke dalam 4WD tersebut sebelum memecut lari menunggang motosikal bersama rakannya yang sedang menunggu.

Pengawal keselamatan bersama dua kakitangan terbabit kemudian menghubungi pihak bomba dan polis.

Bagaimanapun, ketika anggota bomba tiba di lokasi, api sudah merebak ke sebuah lagi 4WD yang diparkir bersebelahan.

Dua kereta yang diparkir berhampiran berjaya dialihkan ke tempat selamat, namun sebuah teksi yang berada berdekatan 4WD yang menjadi sasaran turut mengalami kerosakan pada bamparnya akibat terkena api.

Pihak polis turut tiba di lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan diketuai Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohamad Suhaimi.

Polis juga mengarahkan pemilik kenderaan terjejas untuk tampil ke balai membuat laporan polis.

Difahamkan, 4WD yang menjadi sasaran pengkhianat didaftar atas nama isterinya, manakala sebuah lagi 4WD dimiliki sebuah syarikat, namun kedua-duanya dipandu oleh bukan pemilik asal dan mereka menginap di hotel berkenaan.

Salah seorang daripadanya merupakan jurutera dari luar kawasan yang berada di sini atas urusan kerja.

Selain itu, salah seorang pemandu 4WD tersebut dipercayai memarkir kenderaannya pada jam 12.30 pagi, sebelum memasuki hotel bersama seorang wanita.

Polis akan menjalankan siasatan rapi termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terbabit.