Bangun luar bandar

0

KEMUDAHAN RAKYAT: Adenan mengibarkan bendera tanda pelancaran Penyeragaman Caj Feri Marudi sambil disaksikan Jamilah, Sylvester Entri (dua kiri) serta yang lain.

Kerajaan akan percepat pembinaan tiga jambatan baharu untuk rakyat: KM

Oleh W.Bolly Ongie //

MARUDI: Tiga jambatan baharu akan dibina di negeri ini sebagai sebahagian usaha merancakkan pembangunan luar bandar di samping memberi keselesaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjelaskan, tiga jambatan itu ialah Jambatan Long Lama Baram, Jambatan Limbang dan Jambatan Bako di Kuching.

“Kita akan bina secepat mungkin di bawah peruntukan RM500 juta untuk pembangunan luar bandar. Ini saya lakukan demi rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyeragaman Caj Feri Marudi di Kuala Krian semalam.

Turut hadir isterinya Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda Kemudahan Awam dan Menteri Muda Pertanian (Pertubuhan Peladang) Datuk Sylvester Entri Muran, Timbalan Pengarah JKR Sarawak Danien Ranggu dan Residen Bahagian Miri Anthonio Kathi Galis.

Caj tersebut diturunkan daripada RM15 kepada RM1 untuk satu perjalanan dengan penyeragaman sama dilaksanakan bagi perkhidmatan feri di Long Lama.

Adenan berkata, jika diberi kepercayaan lima tahun lagi sebagai Ketua Menteri, pelbagai rancangan dan perubahan akan beliau lakukan untuk rakyat.

“Kita telah banteras pembalakan haram, kekang kemasukan pendatang asing tanpa izin, turunkan tarif elektrik, serap Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk khidmat kerajaan serta perbandaran.

“Kita juga berjaya hapuskan bayaran tol Jambatan Lanang Sibu, Jambatan ASEAN Miri termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo. Kita mahu Sarawak maju,” katanya.

Jelasnya, untuk menjana lebih banyak sumber bagi kemajuan Sarawak, beliau masih berusaha meneruskan perundingan kenaikan royalti minyak dengan Petronas.

Katanya, beliau tidak akan berputus asa mendapatkan kenaikan royalti untuk negeri ini daripada lima peratus kepada 20 peratus daripada syarikat petroleum itu.

“Sarawak ada 500 buah kampung termasuk rumah panjang, negeri ini hampir sama besar dengan Semenanjung yang didiami pelbagai etnik. Saya mahu sebuah negeri maju dalam Malaysia,” tegasnya.