Baton sebagai alat pertahankan diri

0

MBM selar tindakan dua penjaja Tamu Muhibbah serang penguat kuasa

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Kakitangan Penguat kuasa Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan membawa baton sebagai alat mempertahankan diri sekiranya diserang oleh orang awam ketika melaksanakan tugas.

MBM dalam kenyataan medianya semalam menyelar tindakan dua penjaja Tamu Muhibbah kerana menyerang kakitangan mereka dalam kejadian pagi Rabu lalu.

“Pegawai penguat kuasa dilengkapkan dengan baton dan mereka telah diarahkan mempertahan diri dengan baik ketika menjalankan tugas termasuk menahan orang awam jika situasi memerlukan berbuat demikian,” kata kenyataan itu.

Mengulas tentang insiden jam 9.40 pagi, dua pegawai penguat kuasa diserang kerana merampas barangan jualan dua penjaja di Tamu Muhibbah di sini.

Seorang pegawai mengalami pendarahan hidung sementara seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.

MBM kesal dengan insiden tersebut dan mengingatkan orang awam  agar tidak bertindak mengikut peraturan diri mereka sendiri sekiranya tidak berpuas hati terhadap tindakan pihak penguat kuasa MBM.

“Pegawai kita hanya melakukan tugas atas arahan diberikan kepada mereka. Sekiranya orang awam tidak puas hati dengan tindakan pegawai kita, mereka boleh menggunakan saluran udang-undang yang ada,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, MBM mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab tujuh hari kepada dua penjaja tersebut sebagai memberi peluang kepada mereka memberi penjelasan.

MBM tidak teragak-agak membatalkan permit perniagaan mereka sekiranya penjelasan diberikan tidak memuaskan dan diarahkan mengosongkan segera gerai mereka.

MBM juga sedang mengkaji memulakan tindakan sivil terhadap dua penjaja bagi tujuan menuntut kos menyebabkan kecederaan dan kos perubatan mangsa.

“Operasi penguatkuasaan tidak dihalang insiden kecil itu dan MBM terus melakukan kerja-kerja penguatkuasaannya,” tambah kenyataan itu.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai dalam kenyataan kelmarin memberitahu kedua-dua peniaga itu merupakan peniaga berlesen tetapi melanggar peraturan berniaga di tempat letak kereta.

Kedua-dua mereka sebelum ini pernah menerima surat amaran daripada MBM kerana kesalahan terbabit tetapi seperti tidak dipedulikan memaksa penguat kuasa merampas barangan jualan mereka.