Keadaan TPS sesak tetapi terkawal

0

SESAK: Keadaan di ruang menunggu dan pelepasan di Terminal Penumpang Sibu yang sesak dengan penumpang yang menunggu masa untuk menaiki bot ekspres

NAIK: Para penumpang menaiki bot ekspres yang menuju ke Song dan Kapit di Terminal Penumpang Sibu.

Ribuan penduduk pulang ke kampung halaman untuk rai Gawai Dayak

SIBU: Keadaan di Terminal Penumpang Sibu (TPS) terkawal meskipun sesak dengan penumpang bot ekspres yang hendak pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Gawai Dayak.

Difahamkan, TPS di Jalan Maju ini mula sesak dengan penumpang seawal jam 4 pagi, yang datang awal menaiki bot ekspres yang berlepas jam 5.45 pagi ke Kapit dan juga Song.

Sehingga tengah hari semalam, keadaan di TPS yang menjadi pintu masuk utama melalui jalan sungai bagi kawasan tengah Sarawak ini terus sesak dengan penumpang.

Bagaimanapun pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang dibantu pihak polis, Jabatan Laut, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya mengawal keadaan sekali gus memastikan keselamatan termasuk keselesaan penumpang.

Penolong Kontroler LSS Wilayah II, Christopher Chan berkata, pemantauan dijalan di TPS sejak beberapa hari lepas berjaya mengawal keadaan di terminal itu yang diguna hampir 10,000 penumpang sehari pada waktu puncak.

Sehubungan itu, beliau berharap semua penumpang terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi menjalan tugas mengawal keadaan di terminal terbabit agar semuanya berjalan lancar.

Chan memberitahu, LSS juga memastikan bot ekspres bagi semua laluan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang yang bertambah semasa musim perayaan Gawai Dayak.

“Sehingga jam 9 pagi semalam, kita telah melulus 10 permohonan daripada pengusaha bot ekspres bagi menyediakan bot ekspres tambahan ke Kapit dan Song.

“Kita menjangka menerima lebih banyak permohonan daripada pengusaha bot ekspres berikutan permintaan daripada penumpang,” ujarnya ketika ditemui pemberita di TPS, semalam.

Sementara kelmarin, 11 bot ekspres tambahan juga telah diluluskan iaitu dua bot bagi laluan Sibu ke Pasin, lima bagi laluan Sibu ke Song dan empat lagi dari Sibu ke Kapit. Pada 27 Mei, LSS telah meluluskan lima buah bot ekspres tambahan.

“Pihak LSS akan sedaya upaya bekerjasama dengan pengusaha bot bagi menyediakan bot ekspres tambahan bagi membolehkan semua pulang menyambut Gawai Dayak bersama keluarga.

Di samping itu katanya, pihak LSS juga telah menerima lima laporan berhubung kejadian seluk saku dan kes itu kemudian dirujuk kepada pihak polis.

Mangsa seluk saku ini terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita, tiga kes berlaku ketika mangsa membeli tiket ekspres di kaunter tiket di hadapan TPS dan dua kes berlaku di luar bangunan terminal.

“Kita ingin mengingatkan penumpang agar sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa seluk saku. Di samping itu, kehadiran pihak polis juga dipertingkat di TPS,” tambah Chan.