Najib lawat Perlis, Sabtu

0

KANGAR: Jadual padat memenuhi atur cara lawatan kerja sehari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perlis, hari ini.

Mengikut atur cara itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau di sini pada jam 9.30 pagi.

Selepas itu, Najib akan menghadiri taklimat pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 bagi negeri ini oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Pembangunan Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kemudiannya akan menghadiri majlis perjumpaan dengan pemimpin parti komponen BN negeri di sebuah hotel di sini.

Pada tengah hari, Perdana menteri dan isteri akan diraikan pada jamuan ramah mesra bersama rakyat Perlis di Dewan 2020, di sini.

Selepas itu, Najib dijadual menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) peringkat kebangsaan di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis pada jam 3.30 petang sebelum berlepas pulang ke ibu negara. — Bernama