Peluang juara buat Sarawak

0

TERBAIK: Ahmad Faiz (kanan) dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Kukuhkan kedudukan setelah benam Kuala Lumpur pada aksi Liga Perdana Kebangsaan

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak sekali lagi berjaya membenam pasukan pilihan Kuala Lumpur kali ini dengan kelebihan 52 larian pada perlawanan pusingan kedua kriket Liga Perdana Kebangsaan Tier A kelmarin untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga kedua liga di belakang Selangor.

Selepas menundukkan pasukan ATM Selasa lalu, Sarawak yang turun menentang Kuala Lumpur dengan misi mengekalkan rentak kemenangan bagi merapatkan jurang mata dengan Selangor untuk merebut tempat selaku juara.

Strategi pasukan Sarawak untuk melakukan pukulan selepas memenangi undian ternyata membuahkan hasil apabila berjaya mengumpulkan 280 larian dalam 50 over.

Gandingan pemukul perkasa, DK Ranaweera dan ketua pasukan kebangsaan Ahmad Faiz berjaya melonjakkan larian Sarawak ke kedudukan selesa pada perlawanan tersebut selepas gandingan mereka berjaya mengumpul 194 larian.

Bukan itu sahaja, kedua-dua pemukul Sarawak itu juga berjaya melakukan pukulan 100 selepas mereka berdua mengumpulkan 1 0 3 larian setiap seorang.

Tidak cukup dengan itu, giliran seorang lagi awang import Sarawak, Hia Jayaratne berjaya mengumpulkan 40 larian tanpa tewas dengan hanya 16 bola yang dipukul.

Pukulan mantap ditunjukkan pemain-pemain Sarawak meletakkan tekanan kepada pasukan ibu kota itu selepas meletakkan 281 larian sebagai sasaran.

Memasuki sesi kedua, Kuala Lumpur meletakkan gandingan pemukul muda berbakat, Fikri Makram dan bekas pembuka pukulan pasukan kebangsaan Nasir Shafiq melakukan pukulan pembukaan.

Namun, gandingan keduadua pemain itu tidak kekal lama apabila pemutar kiri Sarawak, Faruq Hakimin berjaya mengeluarkan Nasir Shafiq pada kedudukan 58 larian pada over 13.3.

Tidak cukup dengan itu, kepakaran serta kemantapan pemadang Sarawak berjaya ditunjukkan oleh pemain berpengalaman Sarawak, Maxwell Stephen selepas beliau berjaya memerangkap seorang lagi pemain muda Kuala Lumpur, Virandeep Singh.

Kuala Lumpur tidak mengalah terlalu awal apabila Fikri Makram dan HHM de Zoysa menghidupkan semula peluang pasukannya memenangi perlawanan selepas gandingan pemukul itu berjaya meletakkan angka pasukan Kuala Lumpur pada kedudukan 162 larian pada over memasuki angka 33.

Namun, semangat ‘Ngap Sayot’ ternyata terlalu sukar untuk ditundukkan oleh Kuala Lumpur apabila pukulan mereka berjaya disekat setakat angka 228 pada over 47.1.

Sarawak dinobatkan sebagai pemenang dengan kelebihan 52 larian.

Sementara itu, pemain Sarawak Ahmad Faiz dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menunjukkan pukulan mantap di lapangan tengah.

Dengan kemenangan itu, Sarawak berjaya merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga ketika ini iaitu Selangor dan berjaya mendahului tiga lagi pasukan lain bertanding pada musim ini.

Sarawak bakal berdepan Pulau Pinang pada dua perlawanan terakhir pada Sabtu dan Ahad ini.

Ia perlawanan amat penting bagi pasukan Sarawak kerana jika mereka berjaya memenangi perlawanan tersebut peluang muncul juara kembali terbuka.

Ketua Pasukan Sarawak, Gordon Chung berkata ramai mengatakan Selangor bakal menjadi juara namun Sarawak tidak memberi jalan mudah dan mereka pasti lebih fokus memastikan kemenangan menjadi milik mereka (Sarawak).

Liga Perdana Kebangsaan Tier A merupakan kejohanan kriket terbesar peringkat kebangsaan yang membariskan lima pasukan terkuat negara dan membariskan pemainpemain import yang mantap dari negara-negara elit dalam sukan kriket.