Pengundi Sungai Iran mahu Blikau dicalonkan semula

0

KAPIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Datuk Ambrose Blikau Enturan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat dan pengundi di Sungai Iran atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada kerajaan BN.

Beliau turut terharu kerana mereka telah melantik beliau sebagai wakil rakyat dan mengisytiharkan pendirian bersetuju mencalonkannya sekali lagi sebagai calon BN bagi Katibas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Orang Sungai Iran setia kepada BN dan saya berharap sokongan tidak berbelah bahagi itu harus dikekalkan untuk memastikan rakyat terus merasai hasil pembangunan,” katanya pada Program Sesi Bertemu Rakyat dan MEMBARA anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Katibas di Rumah Jamba, Nanga Santu di Sungai Iran di sini.

Beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mendengar propaganda pihak luar memberitahu bahawa tidak ada pembangunan berlaku di Song.

“Ya, tidak dapat dinafikan bahawa kita telah membawa banyak pembangunan di sini yang jelas boleh kita lihat sekarang.

“Bagaimanapun, masih banyak pembangunan diperlukan di sini namun untuk melaksanakannya memerlukan masa dan kos kerana kerajaan melaksanakan projek pembangunan berdasarkan keutamaan dan secara berperingkat-peringkat,” ujarnya.

Program itu sebagai landasan para pemimpin dan pelbagai agensi kerajaan mendekatkan diri dengan rakyat dan mengenal pasti masalah dan keperluan rakyat peringkat akar umbi.

Pada majlis itu, Blikau menyerahkan 37 unit jana kuasa kepada rumah panjang Jamba dan Rumah Depa (satu unit setiap keluarga atau bilik) dan pendawaian elektrik ditaja Yayasan 1Malaysia.

Beliau juga mengumumkan geran sejumlah RM1,500 kepada setiap keluarga Rumah Senabong untuk komuniti rumah panjang membeli jubin dan mengecat semula rumah panjang mereka, sejumlah RM25,000 menggantikan sistem paip air Rumah Empawie, RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah DEPA membeli barangan dapur dan peralatan dan RM3,000 setiap keluarga Rumah Medan membeli bahan-bahan binaan menaik taraf rumah panjang mereka.

Aktiviti lain pembukaan kaunter pendaftaran pengundi baharu oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan PBB Katibas.

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak Robert George Segie wakil Pegawai Daerah Song, Pegawai JASA Katibas Jimmy Ribut, ketua-ketua pelbagai jabatan, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Song Leo Mamba Simpang dan Setiausaha PBB Katibas, Anthony Kayan.

Sementara itu, seramai 13 ketua kampung hadir pada majlis itu membuat pendirian mereka bersatu dan terus memberi sokongan kepada Blikau dan menamakan semula Blikau sebagai calon BN pada PRN akan datang.