Program Wira Dalam Diri Kita di Pustaka Miri pada 8-13 Jun

0

MIRI: Program kesedaran manfaat pendermaan organ dan darah dikenali Wira Dalam Diri Kita (Heroes in You and Me) di Pustaka Miri bermula pada 8 hingga 13 Jun ini.

Aktiviti itu mendapat kerjasama Tabung Darah Hospital Miri dan Jawatankuasa Rekrut Penderma Organ daripada Bulan Sabit Merah Cabang Miri.

Pameran pendermaan organ dan darah boleh dikunjungi di ruang legar Pustaka bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pegawai Perubatan Anestetik Hospital Miri, Dr Ling Heng Wei dijemput mengendalikan ceramah kesedaran pendermaan organ pada 10 Jun bermula 2.30 petang.

Peserta didedahkan dengan informasi berkenaan fakta, kebaikan serta proses pendermaan organ.

Kempen derma darah sempena Hari Penderma Darah Sedunia turut diadakan pada 13 Jun jam 8.30 pagi di ruang legar Pustaka Miri.

Sehubungan itu, penduduk khasnya penderma darah tetap dan baharu hadir beramai-ramai menjayakan kempen itu bertujuan menambah bekalan darah untuk Tabung Darah.

Pada tahun lalu, penganjur berjaya mengumpul sebanyak 50 pain darah dan menyasarkan jumlah lebih besar pada tahun ini.

Penderma akan menerima cenderamata penghargaan serta menikmati jamuan ringan.

Untuk maklumat lanjut dan pra-pendaftaran boleh menghubungi Pustaka Miri di talian 085-422525 (Sofina Tan/Siti Rohana).