Warga Marudi lega tambang feri turun

0

KUCHING: Penduduk Marudi melahirkan rasa lega dengan penurunan tambang feri yang menghubungkan pekan itu dengan bandar raya Miri semalam.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merasmikan penurunan tambang tersebut.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Marudi Sahrein Maloh berkata, penurunan harga dari RM15 kepada RM1 sehala memberi banyak makna kepada penduduk Marudi.

“Ia memberi perbezaan nilai wang yang amat besar terutama penduduk yang berulang-alik dari Marudi ke Miri setiap hari bagi urusan pekerjaan, ekonomi dan sosial.

“Dengan pengurangan tambang, kegiatan ekonomi penduduk di Marudi akan meningkat dan diharapkan peniaga dapat menurunkan harga barangan jualan,” katanya.

Sahrein yang juga Setiausaha Media Pergerakan Pemuda PBB berkata, ia juga merupakan hadiah daripada kerajaan negeri terutama kepada penduduk yang menyambut Gawai.

“Aktiviti saling mengunjungi akan bertambah rancak tanpa perlu memikirkan kos besar.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana mengumumkan berita gembira ini, begitu juga dengan ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri yang berusaha keras membawa isu ini,” ujarnya.

Pada masa sama, menurutnya, pihaknya berharap kerajaan pusat mempercepatkan proses membaik pulih dan meningkatkan kualiti jalan Miri-Marudi yang agak berbahaya ketika ini.