Wan Junaidi turut sokong tol di Jambatan Tun Salahuddin dimansuh

0

KUCHING: Desakan agar Zecon Berhad yang mengendalikan operasi kutipan tol di Jambatan Tun Salahuddin agar memansuhkan perkhidmatan tersebut terus disuarakan.

Terbaharu, Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemansuhan tol tersebut sudah pasti akan melegakan banyak pihak dan pada masa sama, akses jalan dapat diperbesar.

Menurutnya, pada masa ini agar sukar untuk kerajaan memperbesarkan jalan termasuk membuka jalan kepada penduduk di perkampungan berhampiran.

“Orang Sarawak tidak mahu ada tol dan semua orang mahu ia (tol) dimansuh,” katanya kepada pemberita di sini, malam kelmarin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan negeri sudah pasti mempunyai mekanisme khusus agar pemansuhan tol tersebut dapat direalisasikan.

Pada masa sama, beliau turut menyokong desakan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar perkhidmatan tol tersebut dimansuhkan.

“Saya amat menyokong desakan mereka (Pemuda PBB) kerana ia adalah untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Pergerakan Pemuda PBB baru-baru ini mahu Zecon Berhad mencontohi usaha syarikat konsesi Jambatan Lanang yang memasuhkan tol.

Menurut kenyataan Pemuda PBB, pihaknya percaya Zecon Berhad sudah memperolehi pulangan kepada pelaburan mereka.