Ahli perniagaan mati jatuh dari tingkat 15

0
TERJATUH: Mayat Kho diangkat oleh anggota polis sebelum dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

TERJATUH: Mayat Kho diangkat oleh anggota polis sebelum dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

KUCHING: Seorang ahli perniagaan restoran makanan barat dan kopitiam ditemui mati dipercayai selepas terjatuh dari tingkat 15 sebuah pangsapuri 18 tingkat di Batu Kawa di sini, semalam.

Mayat Kho Hup Lain, 33, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh seorang penghuni yang turut mendiami pangsapuri itu, sekitar jam 11 pagi.

Menurut saksi kejadian, dia pada awalnya mendengar satu bunyi hentakan kuat datang dari atas bumbung zink di tingkat satu pangsapuri tersebut.

“Saya terdengar satu bunyi hentakan kuat menghempap bahagian atas bumbung zink tingkat satu pangsapuri sebelum turun ke tingkat bawah untuk memeriksa dan mendapati mangsa terbaring dengan berlumuran darah di kawasan parkir kenderaan terbuka, di sini (pangsapuri).

“Kemudian saya terus bergegas memanggil pengawal keselamatan pangsapuri dan seterusnya menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya lagi, dia mengenali mangsa yang juga tinggal di tingkat 10 pangsapuri itu sejak tiga tahun lalu.

Jelasnya, pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di pangsapuri berkenaan mendapati, mangsa pada awalnya mahu ke rumahnya, namun selepas pintu lif terbuka di tingkat 10, mangsa kelihatan membatalkan niatnya dan terus menekan butang menuju ke tingkat 15 pangsapuri.

“Di tingkat 15, terdapat kesan tapak kasut mangsa mengotori dinding balkoni,” jelas saksi.

Jiran mangsa yang enggan disiarkan namanya ketika ditemui memberitahu, sejak beberapa hari lepas, dia tidak ada melihat kelibat isteri, anak lelaki dalam lingkungan tiga tahun serta ibu mangsa yang turut tinggal bersamanya di pangsapuri itu.

Difahamkan, mangsa mengusahakan beberapa cawangan restoran makanan barat dan kopitiam bersama isterinya di sekitar bandar raya ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.