Penggambaran drama sejarah tentang pahlawan Sabah dijalankan di Sarawak

0

KUCHING: Penggambaran drama sejarah 13 episod mengisahkan pahlawan Sabah berjudul ‘Ontoros Antanom’ akan dijalankan di negeri ini.

Dijangka ditayangkan pada Ogos tahun depan, pengarahnya Zulkifli M Osman menjelaskan bahawa proses penggambaran drama itu akan mengambil masa selama 45 hari bermula 3 Jun (hari ini).

“Kami akan melakukan penggambaran selama 45 hari dan diharapkan ia akan bermula pada 3 Jun ini (Rabu).

“Kami menjangkakan debut drama ini pada bulan Ogos tahun depan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan di sini, Isnin lalu.

Mengakui pernah mengarah drama berkaitan sejarah Sarawak, jelasnya lagi ia merupakan kali pertama beliau membuat penggambaran mengenai pahlawan dari Sabah.

Jelasnya lagi, ‘Ontoros Antanom’ akan berpangkalan di Kuching berikutan lokasi penggambaran yang lebih dekat, kemudahan pemain industri dan sebahagian pelakonnya.

“Saya berbangga dapat mengarah drama ini. Saya juga gembira melakukan epik sejarah.

“Cerita sebegini boleh men-jadi rujukan kepada masya-rakat,” tambahnya.

Menurut Zulkifli, ‘Ontoros Antanom’ bakal menampilkan Ebi Kornelis dan Geoff Andre Feyaerts.

Terdahulu, Snowdan telah memperkenalkan pengarah, kru dan pelakon drama ber-kenaan kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai siri televisyen dan penggambaran drama berkenaan akan didedahkan nanti.

Rumah terbuka tersebut telah diadakan di rumah bapa Snowdan iaitu Donald Lawan di Tabuan Supreme, Jalan Wan Alwi di sini.

Selain isteri Snowdan iaitu Melinda Bucking dan keluar-ganya, turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah serta ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo.