PBB sentiasa prihatin terhadap kaum Penan

0

PBB Telang Usan tampil serah sumbangan kilat RM1,300 kepada wanita Penan lahir bayi perempuan kembar

Norrlatep MIRI: Parti Pesaka Bu-miputera Bersatu (PBB) Telang Usan semalam tampil menyerahkan sumbangan kilat sebanyak RM1,300 kepada seorang wanita Penan yang berasal dari Ba’ Taha, Baram Tengah iaitu Merlin Tuang yang baharu melahirkan dua bayi perempuan kembar.

Merlin difahamkan datang ke Miri dengan keadaan langsung tiada bekalan dana semasa bersalin dan dia dibawa oleh Ketua Kampung Ajang Pen dari Long Karangan.

Ketika berita itu diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok, dengan segera beliau menyebarkan mesej supaya satu derma kilat diusahakan untuk membantu wanita dimaksudkan.

“Adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri dan juga PBB untuk membantu Penan tidak mengira masa dan situasi,” kata Dennis kepada Utusan Borneo semalam setelah menyerahkan wang sumbangan kepada Merlin.

Turut hadir ahli-ahli PBB Telang Usan dan Ketua Kampung Long Karangan Ajang Pen. Menurut Dennis, Merlin dan keluarganya masih hidup secara nomad dengan berpindah-randah di sekitar hutan Ba’ Taha. Selain dua bayi kembar yang baharu sahaja dilahirkan oleh Merlin, dia turut mempunyai seorang anak berusia lima tahun.

“Bantuan ini kami sampaikan seikhlas dan secepat mungkin kerana kami sangat faham situasi yang Merlin alami sekarang,” jelas Dennis lagi merujuk kepada kes Merlin.

Kedua-dua bayi masing-masing dinamakan Angelina dan Angelika sementara mereka bertiga akan dibawa ke Long Karangan tidak lama lagi untuk dijaga oleh Ajang Pen serta isterinya.

Sementara itu, Ajang Pen mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan PBB kerana mengambil berat akan hal berkaitan komuniti berkenaan. Tindakan itu katanya, menunjukkan komuniti berkenaan sememangnya mendapat perhatian daripada kerajaan walaupun hidup jauh di kawasan pedalaman.