Alat pembaca bermasalah punca bil elektrik melambung

0

MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) semalam memberi jawapan berhubung isu pengguna menerima jumlah bil elektrik melambung baru-baru ini disebabkan caj terkumpul selepas berlakunya bacaan anggaran meter beberapa bulan.

Pengurus Wilayah SEB Miri Choo Min Chong berkata, bacaan anggaran untuk bulan Januari dan Februari masuk ke bacaan untuk bil Mac dan berlaku lagi anggaran caj pada April disebabkan alat pembaca bil bermasalah.

“Bacaan anggaran tersebut berlaku disebabkan masalah alat pembaca bil (hand held machine) menyebabkan rata-rata pengguna menerima caj bil elektrik yang berbeza-beza,” katanya.

Choo berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan daripada Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang mengutarkan isu terbabit selepas menerima aduan daripada pengguna.

Jelas Choo, bagaimanapun masalah itu dikenal pasti pada Mei lalu dan pengguna menerima bacaan meter bil elektrik pada jumlah sebenar bulan ini.

Lee memberitahu SEB telah melakukan terbaik bagi menyelesai masalah tersebut dan memastikan pengguna menerima bekalan elektrik sediakala.

Bahkan jelas Lee, sekitar 4,000 pengguna di Miri mendapat manfaat percuma bagi pengguna yang memiliki bil bawah RM20.

“Masalah itu sudah terjawab dan diselesaikan. Justeru, pengguna di sini akan menerima bacaan meter dengan bacaan sebenar kelak,” tambahnya.