Komitmen jangka panjang tiga negara pelihara hutan Borneo

0

MIRI: Komitmen jangka masa panjang dituntut dari ketiga-tiga negara Indonesia, Brunei dan Malaysia supaya memelihara dan mengurus hutan tropikal termasuk kepelbagaian bio di dalamnya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, sebahagian besar hutan Borneo kini sudah diterokai untuk aktiviti pembalakan dan pertanian.

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak penting termasuk agensi swasta dan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pendidikan supaya menggembleng tenaga mengurus hutan sedia ada,” katanya.

Beliau berucap dalam teks ucapan yang dibaca Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin ketika merasmi Simposium Projek Komunikasi Global (GlobCom 2015) di Auditorium, Universiti Curtin Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) di Senadin semalam.

Adenan yang juga penaung simposium itu menambah, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan dan pendekatan terbaik dalam usaha melindungi kepelbagaian biologikal, pengurusan hutan mapan, ekopelancongan kebudayaan, pertanian serta penggunaan tanah secara mapan.

“Kita harus meningkat kesedaran dan menggalakkan penggunaan sumber asli hutan Borneo dengan bijak dan berhati-hati.

“Usaha ini dapat dicapai melalui penglibatan semua pihak untuk melaksana perancangan pengurusan hutan yang dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat Borneo untuk generasi akan datang,” katanya.

Mengenai simposium itu, beliau berharap ia dapat membangun strategi inovatif dalam komunikasi global.

Beliau juga memuji usaha Curtin Sarawak menganjur simposium itu dan berharap ia dapat meningkat pemahaman peserta mengenai hutan Borneo.

Simposium itu berlangsung mulai 4 hingga 6 Jun itu disertai lebih 50 peserta 15 universiti dari 15 negara menyertainya.

Hadir sama Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Sarawak Profesor Jim Mienczakowski, Datuk Bandar Lawrence Lai dan Pengerusi Penganjur Dr Kamala Vainy Kanapathi Pillai.