Mahasiswa baharu UiTM diingat usaha capai impian

0

KOTA SAMARAHAN: Mahasiswa baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak harus menjadikan universiti sebagai tempat untuk mengubah hidup dalam usaha mencapai cita-cita.

Rektor UiTM Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, adalah menjadi harapan tinggi ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka yang melanjutkan pengajian di universiti itu menjadi seorang yang berjaya.

“Janganlah kamu mempersia-siakan peluang yang diberi serta menghancurkan harapan ibu bapa kamu semua yang mahu melihat anaknya berjaya menggenggam segulung ijazah.

“Kamu bersyukur kerana kamu semua antara ribuan pemohon yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Destini Siswa di Dewan Jubli UiTM Samarahan semalam.

Pada masa sama, Jamil menggesa mahasiswa baharu meneruskan tradisi kecemerlangan pencapaian yang dikecapi UiTM dalam pelbagai bidang akademik mahupun kokurikulum.

“Oleh itu, jadilah graduan yang mempunyai pelbagai kebolehan terutama dalam berkomunikasi kerana ia penting sewaktu anda semua ingin mencari pekerjaan,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar mahasiswa baharu UiTM tidak terlibat dalam politik di dalam kampus selari dengan Akta Universiti.

“Biarlah kamu belajar dahulu kerana ilmu lebih penting agar kamu menjadi insan berguna, jika hendak berpolitik biarlah kamu tamat belajar,” katanya lagi.

Semalam, seramai 1,550 mahasiswa baharu UiTM mengangkat ikrar pelajar bagi sesi kemasukan 2015.

Hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Wan Akil Tuanku Abdullah dan barisan pendidik UiTM lain.