Sunday, September 19

Pemimpin UPP, TERAS wajar diterima oleh BN: Abdul Karim

0

KUCHING: Pemimpin Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) wajar diterima oleh Barisan Nasional (BN) kerana mereka mendukung prinsip-prinsip BN baik pada peringkat persekutuan mahupun negeri.

Menurut Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pemimpin kedua-dua parti politik itu juga dipilih di bawah logo BN.

“Saya percaya harapan dan keinginan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) adalah agar rakyat bersatu di bawah mana-mana saluran atau parti BN yang mendukung prinsip BN. Saya fikir ia juga prinsip-prinsip yang diguna pakai oleh BN negeri,” ujarnya semalam.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang menolak konsep BN Plus yang disokong oleh Najib pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Perpaduan, Khamis lepas.

Kenyataan ahli kanan SPDP menolak konsep tersebut kerana antara lain menurut mereka ia akan memusnahkan kerjasama antara parti komponen BN yang telah menyatu dan mengukuhkan perikatan pemerintah.

Abdul Karim menegaskan pendekatan mesra BN yang dibawa oleh TERAS dan UPP memastikan mereka terus berada dalam kabinet kerajaan negeri selain menghadiri acara rasmi.

“Kita melihat menteri, menteri muda dan ketua parti dari parti mesra BN menghadiri acara ini kerana pemimpin mereka mendukung prinsip BN selain dipilih di bawah logo BN,” katanya.

Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, SPDP boleh mengemukakan bantahan terhadap BN Plus atau parti mesra BN.

“Apa yang paling penting akhirnya adalah rakyat menerima parti ini dan pemimpin mereka. Jika rakyat berasakan parti mesra BN ini harus mewakili mereka kita perlu menghormati kehendak mereka,” katanya.

Tambahnya, persoalan tentang sama ada mereka sah menyertai BN atau tidak harus diketepikan.

Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian pula berkata parti itu berterima kasih kepada Najib dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Kami sangat bersyukur kepada PM dan KM kerana menyokong dan mengiktiraf TERAS dan UPP serta BN Plus yang bermakna semua kita berada dalam BN untuk berkhidmat kepada rakyat kerana BN adalah inklusif dan bukan eksklusif seperti yang didakwa oleh segelintir pihak,” katanya.

Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh menyuarakan kegembiraannya sejurus selepas Najib menyatakan sokongannya.

“Saya hanya dapat menyatakan Perdana Menteri sudah mengiktiraf kami. Kami gembira kerana diiktiraf dengan sewajarnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PM dan KM kerana menyokong kami,” kata Wong.