Pengurus taska didakwa abai kanak-kanak hingga sebabkan kecederaan

0

SHAH ALAM: Seorang pengurus Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal, Februari tahun lepas.

Tertuduh, Abdul Majid Hasan, 54, dari Kuang, Selangor, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ellyana Razali.

Dia didakwa mengabaikan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan jari kelingking kiri mangsa dipotong.

Abdul Majid didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis Taska Pasti Al Munirah, Lot 2740, Kampung Chempedak, Jalan Kuang, Sungai Buloh, Selangor kira-kira jam 9.30 pagi pada 25 Feb 2014.

Ellyana menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rustam Danil manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama