Usah terima bulat-bulat maklumat media sosial

0

Oleh Bryan Bell//

 

MUKAH: Masyarakat dinasihat agar tidak menerima atau mempercayai bulat-bulat apa yang tersiar dan disebarkan dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya.

Pengarah Penerangan Sarawak Abang Sardon Abang Hasyim berkata, dalam memastikan masyarakat tidak terpengaruh maklumat tidak betul melalui media sosial, masyarakat perlu diajar supaya tidak terus percaya maklumat diterima sebaliknya perlu membuat penapisan, pengesahan dan rujukan.

“Masyarakat perlu dididik dengan perkara ini dan ia sangat penting kerana sekiranya tidak dididik, maka ia akan mempengaruhi masyarakat,” katanya semasa berucap dalam Majlis bersama Pengarah Penerangan Sarawak di pekarangan Jabatan Penerangan Mukah, semalam.

Menurut beliau, tidak kira golongan muda atau tua, rakyat hari ini tidak akan terlepas dengan perkembangan media sosial yang menyalur pelbagai maklumat serta pengetahuan asas.

“Dalam zaman teknologi dan maklumat ini, golongan tua juga tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan dunia hari ini. Malah, melalui media sosial inilah kita senang dipengaruhi, ia memiliki pengaruh kuat dalam segala dimensi kehidupan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, hal ini menyebabkan terjadinya perubahan sosial baik secara positif mahupun negatif kerana setiap pihak perlu bijak dalam penggunaanya.

Abang Sardon berkata, justeru Jabatan Penerangan dan Pemimpin Komuti 1Malaysia (KIM) perlu memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan mengenai media sosial kini.

Katanya, bagi melahirkan masyarakat serta komuniti yang tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih, setiap pihak perlu bekerjasama dalam memberi pendedahan yang positif.

“Seperti yang kita tahu, sebahagian Jabatan Penerangan adalah untuk memberi penerangan dan nasihat yang sebenar kepada orang ramai.

“Malah tidak lupa juga kepada pemimpin KIM yang perlu mengambil berat mengenai kesejahteraan masyarakat mereka. Dengan langkah seperti ini, sedikit sebanyak dapat memberi kesan yang baik kepada masyarakat mengenai media sosial,” tambahnya.

Turut hadir ialah Pengerusi K1M Tellian, William Katui, Penghulu-penghulu, tetamu jemputan dan rakan media.