3 maut, 5 cedera dalam nahas di Jalan Sibu-Bintulu

0
MAUT: Kelihatan anggota paramedik, bomba dan tentera menghulurkan bantuan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat.

MAUT: Kelihatan anggota paramedik, bomba dan tentera menghulurkan bantuan terhadap mangsa-mangsa yang terlibat.

SIBU: Tiga disahkan maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Toyota Corona pada jam 9.30 pagi di KM114 Jalan Sibu-Bintulu, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Banyau yang mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi semalam berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu Kancil Dolah Amban,60, bersama seorang kanak-kanak di tempat duduk belakang Douglas Duncan Anthony, 13, yang maut ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Selangau.

Manakala Fung Chu Foon,41, penumpang kenderaan Carona maut selepas tercampak keluar dari tempat duduk belakang dan jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter dan ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan susulan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Tatau bersama anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan tiba di tempat kejadian jam 10.15 pagi dan berjaya mengeluarkan mayat Dolah yang tersepit di dalam kereta.

Dalam kejadian itu, kereta Toyota Corona dinaiki empat penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Brunei menuju ke Sarikei manakala Kancil datang dari arah bertentangan dinaiki lima penumpang dewasa dan tiga kanak-kanak.

Pemandu Corona berusia 46 tahun dari Limbang itu dipercayai hilang kawalan di sebuah selekoh menyebabkan kenderaannya berpusing sebelum bertembung dengan kereta Kancil.

Manakala penumpang depan kereta Kancil berusia 35 tahun dan seorang lagi penumpangnya turut mengalami  kecederaan.

Kesemua penumpang cedera telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.