Pasukan penyelamat laksanakan tugas dengan cemerlang: TPM

0

RANAU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji kecekapan pasukan penyelamat dianggotai pelbagai agensi, termasuk malim gunung, dalam usaha menyelamatkan mangsa gempa bumi di Ranau yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu.

Sambil mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pasukan penyelamat berkenaan, beliau berkata pasukan itu terdiri daripada polis, bomba, angkatan tentera, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia berjaya melaksanakan tugas walaupun berdepan bahaya serta menghadapi tugas sukar.

“Kita ucapkan terima kasih dan syabas kepada mereka kerana tindakan diambil amat segera dan keduanya, kawasan ini adalah kawasan popular. Ramai pendaki telah datang ke sini termasuk sewaktu kejadian ini berlaku, beratus pendaki berada di atas (puncak Gunung Kinabalu),” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkenaan gempa bumi di Ranau, di Taman Kinabalu, Kundasang, yang disampaikan Ketua Polis Daerah Ranau DSP Farhan Lee Abdullah.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ewon Ebin dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Muhyiddin berkata beliau difahamkan terdapat lima lagi mayat akan dibawa turun dari Gunung Kinabalu dan dijangka dibawa turun antara jam 3 petang hingga 5 petang ini menggunakan helikopter sekiranya cuaca mengizinkan.

Katanya walaupun mangsa yang terselamat dan sebahagian mangsa yang terkorban sudah dibawa turun namun masih terdapat 56 anggota pasukan penyelamat di atas gunung berkenaan.

Beliau berkata semua mangsa perlu segera dibawa turun agar pasukan keselamatan dapat meninggalkan lokasi bencana demi keselamatan mereka memandangkan gegaran masih berlaku dari semasa ke semasa.

“Saya ucap takziah kepada keluarga mangsa pendaki dan kakitangan kita yang terlibat yang ditemui maut dalam peristiwa agak malang ini.

“Kita mendoakan semoga roh mereka diberi ganjaran oleh Allah SWT, kalau agama lain, (semoga) keadaan mereka selamat,” katanya. — Bernama