1,370 peserta dijangka sertai Larian Bersama Bomba 2015

0

MIRI: Seramai 1,370 peserta dijangka akan menyertai Larian Bersama Bomba 2015 anjuran Jabatan Bomba Zon 6 pada Ahad (14 Jun) ini.

Larian Bersama Bomba sejauh lapan kilometer itu merupakan larian amal untuk dua organisasi kebajikan di sini iaitu Persatuan Autistik Miri dan Persatuan Diabetes Miri.

Acara larian diadakan di Marina Park bermula seawal jam 6.30 pagi.

Larian itu dibahagi kepada lapan kategori iaitu lelaki terbuka berumur 18 tahun dan ke atas, wanita terbuka (18 tahun ke atas), lelaki veteran berumur 45 tahun ke atas, wanita veteran (45 tahun dan ke atas), lelaki berumur 13 tahun hingga 17 tahun, wanita (13 hingga 17 tahun), kanak-kanak lelaki bawah 12 tahun dan kanak-kanak wanita bawah 12 tahun.

Bagi kategori kanakkanak lelaki dan wanita bawah 12 tahun akan berlari sejauh 3.5 kilometer.

Pelbagai hadiah menarik menanti para pemenang.

Tempat pertama setiap kategori masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 serta medal, RM200 serta medal untuk tempat kedua bagi setiap kategori dan tempat ketiga menerima RM100 berserta medal.

Manakala tempat keempat setiap kategori menerima RM50 dan medal.

Setiap pemenang tempat kelima hingga kesepuluh bagi setiap kategori masingmasing menerima sebuah hamper serta medal.

Bagi peserta yang tidak mendapat tempat namun menghabiskan larian sehingga ke garis tamat turut diberikan medal.

Selain mengumpul dana untuk dua badan kebajikan, larian itu mempromosikan gaya hidup sihat serta merapatkan hubungan kalangan pihak Bomba dan masyarakat setempat.