Masyarakat Islam harus mendalami al-Quran, kata Karim

0

KUCHING: Masyarakat Islam harus mendalami al-Quran bagi membangunkan generasi unggul dalam pelbagai aspek.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, cabaran umat Islam pada masa kini adalah begitu getir dengan pelbagai ancaman terutama berkaitan akidah di kalangan golongan belia.

“Al-Quran adalah mukjizat teragung yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW sebagai pedoman hidup buat manusia dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

“Justeru, dengan menghayati ajaran Islam yang digariskan di dalam al-Quran kita dapat membangunkan generasi cemerlang dan unggul dalam pelbagai aspek termasuk akidah khususnya golongan belia pada masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan, Berzanji dan Marhaban serta Pertandingan Nasyid anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Peringkat Zon Borneo di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini semalam.

Karim memberitahu, antara cabaran itu adalah gejala sosial melibatkan penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin membimbangkan melibatkan golongan belia.

“Penagihan dan pengedaran dadah berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosioekonomi, rohani dan budaya rakyat dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional serta mengancam keselamatan negara.

“Dengan menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup maka ia adalah benteng terbaik daripada terjebak dengan gejala sosial ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam memanfaatkan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi untuk mendalami al-Quran.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan AADK Malaysia Azizan Ariffin, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Agama dan Pembangunan Insan AADK Malaysia Ustaz Mohd Ansarullah Mohd Hashim dan Pengarah AADK Sarawak Wan Madihi Wan Salleh.