Bayi meninggal dunia akibat tersedak susu

0

KOTA SAMARAHAN: Bayi lelaki berusia sebulan setengah yang dalam jagaan seorang penjaga kanak-kanak didapati meninggal dunia akibat tersedak susu.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintenden Lee Chong Chern memberitahu, punca kematian itu diketahui hasil bedah siasat dijalankan pagi semalam.

“Punca meninggal dunia adalah disebabkan kelemasan akibat tersedak susu,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Menurut laporan akhbar Utusan Borneo pada Jumaat lepas, seorang bayi lelaki berusia sebulan setengah ditemui mati sekitar tengah malam kelmarin ketika dijaga oleh seorang penjaga kanak-kanak pada malam Rabu.

Penjaga kanak-kanak berusia 50-an terbabit, yang mendakwa mempunyai pengalaman selama 10 tahun menjaga kanak-kanak, dikatakan menghubungi ambulans selepas dia mendapati bayi tersebut tidak sedarkan diri di tempat tidurnya.

Difahamkan, bayi itu telah dikejarkan ke HUS di mana dia disahkan meninggal dunia kira-kira sejam kemudian.

Pasangan suami isteri itu dikatakan mula menghantar bayi itu ke rumah penjaga kanak-kanak berkenaan kira-kira seminggu lalu selepas melihat kain rentang yang mengiklankan perkhidmatannya di kawasan perumahan mereka.