Tidak perlu malu mengaku Bidayuh

0

BAU: Masyarakat Bidayuh tidak perlu malu mengaku asal usul bangsa sendiri kerana kaum minoriti itu kaya dengan adat serta budaya tersendiri yang perlu dibanggakan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, malah mayarakat itu kini dilihat semakin maju seiring dengan bangsa lain.

“Jangan malu mengaku diri sebagai orang Bidayuh kerana masyarakat Bidayuh sekarang sudah ramai yang berjaya dan tidak ketinggalan di negeri ini.

“Apa yang kamu ada (adat dan budaya) perlu dibanggakan,” katanya ketika berucap pada Karnival Gawai Dayak Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (REDEEM), Kampung Apar di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Pada masa sama Adenan memberitahu, masyarakat Bidayuh perlu mempertahankan adat dan budaya bangsa itu supaya harta  warisan Sarawak yang berharga itu dapat diwarisi generasi seterusnya.

Justeru, beliau berharap rakyat negeri ini terus memelihara perpaduan agar keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dikekalkan.

“Sebab itu kita menghalang ekstremis kaum dan agama dari luar datang ke negeri ini kerana kita bimbang ia boleh mengganggu keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak,” tegasnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan menggubal akta yang menghalang masyarakat Kristian menggunakan kalimah Allah di negeri ini.

“Selagi saya ada, tiada undang-undang di negeri ini yang akan menghalang kamu (masyarakat Kristian) menggunakan kalimah Allah, gunakanlah bila-bila masa dan di mana sahaja kamu berada tanpa perlu risau,” katanya.

Karnival berkenaan dimeriahkan dengan pertandingan ratu cantik, Dayung Sikora REDEEM 2015.

Dalam pertandingan itu, Barbara Shirley, 22, dari Bau dinobatkan sebagai ratu cantik selepas berjaya menumpaskan 11 finalis lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,500, mahkota, piala, sijil dan selempang.

Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi Staecy Ann Niker dan Ivy Maria masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM800 berserta piala, sijil dan baucar tunai.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Toh Puan Ragad dan isteri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie, Datin Rose Sanden.

Hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh, Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri  Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil dan Presiden REDEEM Life Datuk Wilfred Rata Nissom.