500 PATI Suluk dihantar pulang guna kapal TLDM

0

MIRI: Lebih 500 pendatang asing tanpa izin (PATI) Suluk akan dihantar pulang secara berperingkat-peringkat dengan menggunakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Mahawangsa.

Laksamana Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri Kapten Abin Sunggom berkata, semua mereka yang menyerah diri kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dihantar pulang pada 17 Jun dan 21 Jun ini.

“JIM, APMM dan TLDM bekerjasama menghantar pulang semua PATI ini ke negara asal.

“Ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan penghantaran pertama pada 17 Jun dan 21 Jun ini,” katanya.

Abin berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama JIM dan agensi kerajaan berkaitan tentang isu Suluk di Miri pada Jumaat lalu.

Menurut Abin, JIM akan dibantu APMM memindahkan PATI Suluk itu ke kapal KD Mahawangsa yang ketika ini sudah berada di perairan Miri.

“Proses ini termasuk kapal APMM yang memindahkan warga Suluk ini ke kapal KD Mahawangsa diiringi pegawai dan anggota ketiga-tiga agensi supaya ia berjalan lancar seperti dirancang,” jelasnya.

Tambahnya, seramai 250 orang Suluk dihantar pada 17 Jun manakala selebihnya pada 21 Jun dan segala proses penghantaran pulang dipantau agensi kerajaan berkaitan.

“Ia adalah bagi memastikan semua warga Suluk selamat dihantar pulang ke negara asal dengan layanan baik daripada Kerajaan Malaysia,” jelasnya.

Kehadiran warga Suluk di bandar raya Miri menjadi isu hangat sejak awal Januari lalu kerana kehadiran mereka merompak hasil laut semasa musim udang geragau sehingga terbongkar penempatan setinggan Suluk di Miri.

April lalu, lebih 500 warga Suluk menyerah diri berikutan kebimbangan mereka terhadap operasi bersepadu yang dijalankan pelbagai agensi penguatkuasaan Kerajaan Malaysia.

Bahkan isu kebanjiran Suluk di Miri turut mendapat perhatian pemimpin nombor satu Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sehingga mengarahkan agensi penguat kuasa mempergiat operasi penangkapan.