Awas! Anda dipantau

0

JAIS pantau seluruh negeri pastikan umat Islam tidak makan di khalayak ramai

Oleh Nick Fletcher //

UTAMAKAN KEBERSIHAN: Daud mengagihkan apron kepada para peniaga di Bazar Ramadan Semarak, semalam.

UTAMAKAN KEBERSIHAN: Daud mengagihkan apron kepada para peniaga di Bazar Ramadan Semarak, semalam.

KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan menjalankan pemantauan di seluruh negeri bagi memastikan orang Islam tidak makan di khalayak ramai sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata tindakan penguatkuasaan tersebut adalah untuk mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya mematuhi dan menghormati bulan Ramadan.

“Kamai akan pergi dari tempat ke tempat bagi memastikan orang Islam tidak makan di khalayak ramai dan kalau kami tahu tempat itu ada orang Islam selalu makan, maka kami akan pergi ke sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas merasmikan Bazar Ramadan Semarak di Petra Jaya dekat sini, semalam.

Sementara itu, Daud turut mengingatkan para peniaga di bazar Ramadan agar sentiasa memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat dimakan.

“Pastikan makanan yang dijual adalah bukan ‘diulang semula’.

“Kalau tidak habis dijual hari ini apa boleh buat, sedekahkan… jangan disimpan untuk dijual hari esok.

“Selain itu, pastikan makanan yang dijual adalah halal,” katanya.

Tapak Bazar Ramadan Semarak yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) adalah melibatkan 78 peniaga yang menjual pelbagai jenis juadah seperti kuih-muih, lauk-pauk dan minuman.