17 Julai depan sebutan kes pasangan asing miliki dadah

0

MIRI: Mahkamah Majistret kelmarin menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan lanjut kes sepasang suami isteri warga asing yang dituduh memiliki dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor.

Dalam permohonannya, Khairi memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut kes tersebut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Ansar Larincing, 35, dan Ayu Anita, 29, kedua-duanya dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang dari lima tahun serta boleh disebat tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan sementara, kedua-dua tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, disyaki ada memiliki dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine dengan berat kasar 31.62 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 12.45 tengah hari, 9 Jun lalu di bilik pertama sebelah kiri yang tidak bernombor di tingkat satu Lot 227 Blok 20 Niah, Jalan Miri-Bintulu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.