Jangan anak tiri Sarawak sebagai penyumbang utama ekonomi negara

3

MIRI: Sarawak perlu banyak bersuara bagi mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat kerana antara negeri penyumbang utama ekonomi negara.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata berbanding dengan negeri lain, Sarawak merupakan negeri kaya dengan sumber bahan mentah dan asli.

“Kita melihat Sarawak perlu diberi perhatian dan keutamaan dalam pembangunan menjelang tahun 2020 memandangkan kita antara penyumbang sumber kepada negara,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau menambah, ada di kalangan negeri lain tidak memiliki sumber seperti Sarawak namun negeri terbabit juga menerima tempias pembangunan.

“Sarawak sekali lagi tidak mahu dianaktirikan dalam soal agihan pembangunan kerana Sarawak sebahagian pembentukan Malaysia dan perlu diberi perhatian,” tegasnya.

Ahmad berkata, permohonan demi permohonan terpaksa dibuat berulang kali sama ada secara lisan dalam Dewan Rakyat atau bertulis kepada kementerian berkaitan.

“Kita harus melakukan permohonan berulang kali supaya suara kita sentiasa didengar kerajaan pusat seterusnya memberi pertimbangan untuk menunaikan permohonan Sarawak,” jelasnya.

Bahkan katanya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem turut memohon kepada kerajaan pusat agar lebih banyak peruntukan pembangunan disalur kepada Sarawak.

Justeru, Sarawak katanya perlu mendapat lebih banyak peruntukan seimbang bagi memastikan tiada lagi jurang pembangunan bandar dan luar bandar.

Dalam perkembangan lain, kerajaan harus melihat dadah sebagai musuh negara dan berusaha memerangi najis dadah ke peringkat akar umbi.

“Dalam ketaksuban kumpulan tertentu mengheret rakyat untuk berpolitik, saya berasa kerajaan dan rakyat Malaysia sudah tidak melihat dadah sebagai musuh negara.

“Oleh itu, saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan secepat mungkin menangani isu ini kerana kita tidak mahu menjelang 2020, negara masih mempunyai ramai penagih dadah,” jelasnya.