Adenan berbuka puasa bersama 85 kanak-kanak kurang bernasib baik di BCCK

0
SUMBANGAN: Adenan bersama Jamilah menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 pada majlis berbuka puasa di BCCK kelmarin.

SUMBANGAN: Adenan bersama Jamilah menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 pada majlis berbuka puasa di BCCK kelmarin.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berbuka puasa bersama 85 kanak-kanak daripada Rumah Kanak-Kanak Batu 12, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini kelmarin.

Turut bersama berkongsi keberkatan bulan suci itu kelmarin ialah isteri kepada Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu serta ahli Lembaga Pengarah BCCK.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BCCK Eric Van Piggelen, mendekati mereka yang kurang bernasib baik dalam masyarakat merupakan aktiviti yang sentiasa dekat di hati BCCK.

Aktiviti berbuka puasa bersama kanak-kanak ini telah dilaksanakan sejak 2011 dengan harapan dapat memberi kelainan kepada mereka dalam hari-hari kanak-kanak kurang bernasib baik ini.

“Tahun ini, BCCK ingin berkongsi keistimewaan dengan menyajikan kanak-kanak ini dengan hidangan yang istimewa.

“Harapan kami ia akan menjadi kenangan bermakna kepada kanak-kanak ini termasuk kehadiran Ketua Menteri kita, “ katanya.

Dalam pada itu selain berbuka puasa, Ketua Menteri semalam turut serta dalam solat terawih.

Kanak-kanak yang diraikan kelmarin turut menerima sumbangan daripada Ketua Menteri dengan nilai keseluruhan RM5,000.

Setakat ini, BCCK telah berkerjasama dengan pelbagai organisasi kebajikan seperti Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), Salvation Army, Cheshire Home dan Rumah Anak-anak Yatim Laila Taib.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.