Banteras nelayan asing

0
BOT ‘ALI BABA’: Bot nelayan China yang berlabuh di Tanjung Manis.

BOT ‘ALI BABA’: Bot nelayan China yang berlabuh di Tanjung Manis.

SELESAIKAN: (Dari kiri) Temrin, Ha dan Timbalan Pengerusi SFVA Wong Hung Teng pada sidang media di Sibu semalam.

SELESAIKAN: (Dari kiri) Temrin, Ha dan Timbalan Pengerusi SFVA Wong Hung Teng pada sidang media di Sibu semalam.

PNKB, SFVA minta kerajaan campur tangan henti operasi kapal ‘Ali Baba’ di perairan Sarawak.

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Persatuan Nelayan Kawasan Belawai (PNKB) dan Persatuan Kapal Perikanan Sarawak (SFVA) meminta kerajaan negeri campur tangan menghentikan operasi kapal ‘Ali Baba’ di perairan Sarawak.

Pengerusi PNKB Temrin Bustamam berkata pada masa ini terdapat lebih 20 kapal nelayan asing dipercayai dari China berlabuh di Tanjung Manis, Sarikei.

“Sementara itu, terdapat antara 50 hingga 60 kapal seperti sedang menunggu di laut terbuka untuk berlabuh di Tanjung Manis.

“Kami mahu kerajaan negeri menghentikan masalah ini.

“Kami meminta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem campur tangan dalam perkara ini demi menjaga hak ribuan nelayan tempatan di sini,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi SFVA Ha Tung Ting di sini semalam.

Menurut Temrin, aktiviti pengusaha pukat tunda ‘Ali Baba’ yang dipajakkan lesen mereka kepada warga asing untuk menangkap ikan di perairan Sarawak menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan.

Katanya pada masa lalu mereka dengan mudah dapat memperoleh antara RM5,000 dan RM6,000 sebulan tetapi kini semuanya berubah.

“Hendak dapatkan RM2,000 sebulan lagilah sukar pada masa kini. Lebih membebankan kami dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Mereka ini (Ali Baba) bukan sahaja merompak hasil pendapatan kami malah memusnahkan sumber marin kami.

“Kata mereka, kapal mereka dibeli oleh pengusaha tempatan namun kami tahu mereka berbohong,” dakwanya.

Tambahnya, nelayan tempatan terpaksa bersaing dengan nelayan Thailand dan Vietnam yang beroperasi dengan menggunakan lesen ‘Ali Baba’.

“Kami ingin tahu mengapa nelayan-nelayan asing dibenarkan beroperasi dalam kawasan laut negara kita,” keluhnya.

Temrin menambah, PNKB menyuarakan kebimbangannya mengenai masalah berkenaan semasa mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Sarawak (PNS) pada Mei lalu.

Sebagai rekod, PNKB yang merupakan ahli PNS kini mempunyai 1,200 ahli manakala SFVA mempunyai kira-kira 300 ahli.