FAM perlu menilai kembali perlawanan pada bulan Ramadan

0

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengkaji balik sama ada perlu mengadakan perlawanan dalam bulan Ramadan pada musim depan.

Presidennya, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata, FAM perlu menilai kembali perkara bagi menghormati bulan puasa selain itu majoriti pemain adalah beragama Islam.

Katanya sepatutnya FAM membatalkan keseluruhan perlawanan sepanjang bulan Ramadan ini bukan hanya sesetengah negeri sahaja dibenarkan menunda perlawanan.

“Kita telah sepakat untuk menyatakan bantahan kepada FAM berhubung perlaksanaan perlawanan bola sepak sepanjang bulan puasa dan kita harap pada musim depan FAM dapat satu keputusan yang terbaik.

“Kalau permohonan Kelantan (untuk menunda perlawanan) boleh diterima, mengapa kebenaran menunda perlawanan tidak diberikan kepada semua negeri dan ia perlu dilakukan demi menghormati bulan Ramadan,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya ketika pemain rancak bermain di tengah padang pada perlawanan pertama Terengganu menentang Johor Darul Takzim(JDT) Sabtu lepas, orang ramai masih menunaikan solat Terawih.

Wan Ahmad Nizam berkata walaupun hanya sunat melakukan solat Terawih namun sebagai umat Islam bulan mulia ini harus dihormati.

“Kita harap para pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan yang ada pada sepanjang bulan ini… dan FAM dapat menilai kembali perkara ini,” katanya. — Bernama