Mimpi menjadi kenyataan

0

Sanjay merupakan atlet kaum Sikh pertama memenangi pingat emas di Sukan SEAOleh Clare Cinderella //

KEBANGGAAN: Sanjay (lima kanan) memegang pingat emas dimenanginya sambil disaksikan ayahnya, Jewa (lima kiri) dan Karambir (empat kanan) bersama ahli-ahli MIA yang lain.

KEBANGGAAN: Sanjay (lima kanan) memegang pingat emas dimenanginya sambil disaksikan ayahnya, Jewa (lima kiri) dan Karambir (empat kanan) bersama ahli-ahli MIA yang lain.

MIRI: Pemain squasy kebangsaan kelahiran Miri, Sanjay Singh Chal yang memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA Ke-28 di Singapura merupakan atlet kaum Sikh pertama negara ini memenangi dua emas kejohanan tersebut.

Presiden Persatuan India Miri (MIA), Karambir Singh berkata kejayaan Sanjay merupakan satu kebanggaan bukan sahaja masyarakat India di negara ini malah di Sarawak khususnya di Miri.

Menurut Karambir, sesi bertemu pemain itu bersama ahli-ahli MIA dan pihak media merupakan satu penghargaan untuk Sanjay di atas pencapaian cemerlang beliau.

“Kami mewakili masyarakat India di sini dan Sarawak berasa gembira dan berbangga dengan pencapaian Sanjay, apatah lagi beliau merupakan pertama kaum Sikh di Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA,” katanya semasa mengetuai ahli-ahli MIA bertemu Sanjay yang diiringi oleh ayah yang juga jurulatihnya, Jewa Singh di Kelab Gymkhana Miri (GCM) di sini iaitu tempat sama beliau menjalani latihan awalnya.

“Kita juga ingin mengucapkan tahniah kepada ayah beliau (Jewa) yang mendedikasikan dirinya dalam usaha melatih dan seterusnya memastikan kejayaan anaknya dalam sukan itu,” jelas Karambir.

Sementara itu, Sanjay mendedikasikan kejayaannya sebagai hasil sokongan kuat semua pihak termasuk kerajaan dan menerusi MSN, beliau berlatih dengan jurulatih terbaik negara dan kemudian menjalani latihan insentif di England mulai Januari lalu.

“Bagi saya memenangi emas dalam acara individu merupakan mimpi menjadi kenyataan, memandangkan saya membesar dengan menonton kejohanan tersebut secara langsung di TV dan akhirnya saya sendiri berdiri di atas podium tersebut menerima pingat emas sekali gus saya merasakan bahawa segala kerja keras selama ini berbaloi,” katanya.

Sanjay, 21, mengakui bahawa dua pingat emas dimenanginya pada kejohanan antarabangsa itu dan manamana kejohanan lain bukanlah perkara mudah untuk dilakukannya.

Ini menuntutnya menjalani latihan secara insentif di dalam dan luar negara, pada masa sama beliau perlu menduduki kelas dalam pengajian Diploma Perniagaan di Universiti Malaya (UM).

“Menjalani latihan di England sejak empat bulan lalu benar-benar membantu saya memperbaiki mutu persembahan dan membawa saya ke peringkat seterusnya.

“Saya balik dari England dengan semangat dan motivasi tinggi serta amat positif bahawa saya boleh melakukan yang terbaik dalam manamana kejohanan diwakili meskipun saya turut mengalami sakit bahagian belakang ketika itu,” tambahnya.

Sementara itu, Jewa melahirkan rasa bangga dengan pencapaian anaknya turut berterima kasih kepada kerajaan dan agensi berkaitan atas sokongan padu mereka lebih-lebih lagi matlamat kerajaan kini melahirkan belia-belia cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan dan akademik.

“Justeru itu, sebagai ibu bapa kita harus menggalakkan anak-anak untuk mengambil peluang disediakan kerajaan dan apabila mereka menunjukkan kecemerlangan maka sokongan kewangan sudah tersedia untuk mereka dan ibu bapa tidak perlu risau mengenai bebanan tersebut,” jelasnya.

Sanjay merupakan pemain pada kedudukan nombor 115 dunia dan empat nombor empat negara.

Beliau berada di Miri sejak 17 Jun lalu untuk bercuti seketika sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur membuat persiapan bagi kejohanan bakal berlangsung termasuk Terbuka Victoria dan Terbuka Australia masing-masingnya pada Julai dan Ogos depan.