7 badan amal terima sumbangan RM18,000

0
TERIMA KASIH: Jamilah menyampaikan cek sumbangan Hari Raya kepada Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Kuching Dr Haironi Mohd Yusoff (kiri) sambil disaksikan Fatimah (tengah).

TERIMA KASIH: Jamilah menyampaikan cek sumbangan Hari Raya kepada Pengerusi Lembaga Pelawat Rumah Kanak-Kanak Kuching Dr Haironi Mohd Yusoff (kiri) sambil disaksikan Fatimah (tengah).

KUCHING: Sebanyak tujuh badan amal di negeri ini menerima sumbangan Hari Raya bernilai RM18,000 keseluruhannya.

Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis di Wisma Bapa Malaysia oleh isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu yang dihadiri Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Sumbangan berkenaan adalah khas daripada konsultan sebuah syarikat dilantik kerajaan negeri iaitu Balanced Scorecard (BSC) yang diwakili Segaran.

Jamilah dalam ucapannya menggesa kepada badan-badan amal di negeri ini supaya menggunakan sumbangan yang ada mengikut keperluan dengan aktiviti terbaik.

“Kami amat berterima kasih kepada penderma dan kita tahu masih ramai lagi mereka yang memerlukan di luar sana.

“Saya berharap syarikat atau individu yang mahu menderma bukan sahaja dilakukan pada musim perayaan tetapi sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu Segaran ketika ditemui menjelaskan bahawa sumbangan berkenaan sebagai sumbangan secara peribadi beliau dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.

Katanya dengan sumbangan berkenaan ia mampu mendatangkan kehidupan lebih gembira kepada penerima khasnya pada musim perayaan.

Pada majlis itu antara badan amal yang menerima sumbangan ialah Rumah Amal Nur Murni (RM2,000), Rumah Kanak-Kanak Kuching (RM2,000) dan Taman Sri Puteri Kuching (RM2,000).

Selain itu turut menerima sumbangan, Persatuan Autisme Kuching (RM3,000), Persatuan Disleksia Sarawak (RM3,000), Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Kuching (RM3,000) dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (RM3,000).

Hadir sama majlis itu semalam, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad.