Elaun bulanan penerima bantuan akan dinaikkan

0

Inisiatif meringankan beban golongan memerlukan dibuat ekoran pendapatan negeri bertambah

Oleh Nick Fletcher //

IKHLAS: Rohani dan Adenan menyampaikan sumbangan kepada tetamu jemputan khas Majlis Berbuka Puasa Sinar Ramadan, sambil disaksikan Jamilah (dua kiri) dan Fatimah (kiri).

IKHLAS: Rohani dan Adenan menyampaikan sumbangan kepada tetamu jemputan khas Majlis Berbuka Puasa Sinar Ramadan, sambil disaksikan Jamilah (dua kiri) dan Fatimah (kiri).

KUCHING: Kerajaan negeri akan menaikkan bayaran elaun bulanan kepada penerima bantuan kebajikan di negeri ini bermula tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata inisiatif bagi meringankan beban golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik itu dibuat ekoran pendapatan negeri yang bertambah.

Justeru, katanya beliau akan mengumumkan secara rasmi kenaikan bayaran kebajikan itu menerusi pembentangan Bajet Negeri 2016 pada November nanti.

“Oleh kerana pendapatan negeri ada bertambah sedikit, maka kerajaan negeri akan bersedekah lebih untuk orang yang memerlukan dengan menaikkan bayaran bantuan kebajikan menerusi bajet negeri yang akan dibentangkan pada November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Sinar Ramadan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah dan isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu.

Bagaimanapun, Adenan yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata jumlah bayaran yang akan dinaikkan belum lagi diketahui.

Namun, beliau menegaskan bahawa kenaikan terhadap bayaran bantuan kebajikan adalah wajar dilakukan kerana kenaikan harga barang yang ketara pada masa ini disebabkan pelaksanaan GST.

“Disebabkan GST banyak harga barang telah naik, jadi bayaran kebajikan pun patut dinaikkan juga.

“Bagi Sarawak kita tunggu pada November ini dan bermula tahun depan, penerima bantuan kebajikan kita boleh menerima sumbangan yang lebih daripada sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Adenan berkata beliau akan turut meminta kerajaan pusat mengikuti langkah Sarawak dalam menambah bayaran kebajikan kepada para penerima.

“Jangan kita (Sarawak) sahaja sibuk tetapi kerajaan pusat tidak…kita mahu Fatimah sibuk dan Rohani juga sibuk,” katanya yang merujuk kepada menteri kebajikan di peringkat negeri dan pusat itu.

Sementara, Adenan turut menyeru golongan kaya di negeri ini supaya tidak lari daripada tanggungjawab menyumbang atau bersedekah kepada orang miskin khususnya pada bulan Ramadan ini.

“Bulan puasa adalah masa sesuai untuk kita bersedekah, jadi orang yang kaya dan mempunyai lebih rezeki harus menghulurkan tangan kepada orang yang memerlukan…jangan berdiam diri sahaja atau buat tidak tahu tentang orang miskin,” katanya.