Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011 bakal calon DAP di Katibas

0
PAREN NYAWI: Pemenang Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011.

PAREN NYAWI: Pemenang Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011.

SIBU: Khabar angin mendakwa bekas pemenang pertandingan Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011 bertanding atas tiket Parti Tindakan Demokratik (DAP) di kerusi DUN Katibas mula bertiup kencang.

Ketika DAP mengadakan ceramah di Taman Rejang di sini, Paren Nyawi membuat kejutan apabila tampil berucap mengenai aspirasi politik untuk rakyat khususnya kalangan masyarakat Dayak di negeri ini.

Pemuda berusia 34 tahun itu turut memberi bayangan bahawa beliau akan bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata pemenang pertandingan Mr Sarawak adalah calon berpotensi untuk DUN Katibas tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

“Kami akan bertanding di 30 kerusi termasuk mempertahan kerusi yang dimenangi dan Paren Nyawi adalah antara calon yang berpotensi,” katanya.

Chong turut mengesahkan bahawa pemenang pertandingan Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011 telah menyertai DAP.

Menurutnya, Paren merupakan seorang akauntan lulusan Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur sejak sedekad lalu.

Beliau berkata, Paren telah meletak jawatan dan pulang ke Song untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui politik sepenuh masa.

Sementara itu, Paren ditemui berkata penglibatannya dalam politik didorong NGO di ibu negara terutamanya untuk memperjuang nasib masyarakat Dayak di kawasan pedalaman Sarawak.

Paren berasal dari Rumah Jarop terletak kira-kira empat kilometer dari bandar Song.

Antara NGO disertai beliau di Kuala Lumpur ialah Persatuan Warisan Sarawak yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dianggotai penduduk Sarawak yang tinggal dan bekerja di ibu negara.

Selepas beliau meraih gelaran Mr Sarawak Borneo Hornbill Festival 2011, Paren dilantik menjadi ahli jawatankuasa penganjur Borneo Hornbill Festival beberapa tahun kemudian sehingga nama pertandingan tersebut ditukar kepada Mr Borneo Ethnic.

Dalam ucapannya pada malam Ahad lalu, Paren berhasrat menyertai DAP kerana beliau bercita-cita untuk melihat perubahan dalam landskap politik Sarawak.

“Saya menyertai DAP kerana ia adalah sebuah parti berbilang kaum berjuang untuk demokrasi sosial,” katanya.