Exco anggap denda terhadap PBSNT melampau

0

HULU TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat menganggap denda yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebagai melampau dan membebankan.

Beliau berkata beliau kecewa dengan denda RM87,500 itu dan pasukan negeri terpaksa bermain satu perlawanan tanpa penyokong di samping terdapat pemain digantung selama enam bulan.

“Kita faham dengan tindakan yang dikenakan, tapi mereka (FAM) kena tahu perkara yang berlaku (membakar suar dan membuat kecoh) bukan berlaku semasa perlawanan, tapi ianya sudah di luar perlawanan,” katanya di sini semalam dan meminta agar FAM turut tidak bersikap ‘double standard’.

Rozi mahu PBSNT supaya mengambil tindakan segera dengan melihat semula dan mengkaji balik keputusan denda itu.

“Saya minta PBSNT sama ada ambil peguam atau hantar bantahan kepada FAM,” katanya. — Bernama