Inisiatif pertanding wushu, boling dan sofbol pada Olimpik Tokyo disambut baik

0

KUCHING: Inisiatif penganjur Sukan Olimpik 2020 Tokyo untuk mempertandingkan wushu, boling dan sofbol mendapat reaksi positif daripada pemimpin persatuan sukan berkenaan di sini.

Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Sarawak (WFS), James Ting berkata memang menjadi impian WFS dan Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) untuk melihat wushu dipertandingkan pada temasya berprestij itu.

“Ia akan memperbaiki peluang negara untuk memenangi pingat dalam Sukan Olimpik memandangkan kita mempunyai rekod cemerlang pada Kejohanan Wushu Dunia.

“Namun, secara peribadi saya merasakan peraturan dan undang-undang pertandingan wushu sedia ada perlu dinilai dan dibentuk semula memandangkan ia sukan berbentuk subjektif yang terdedah dengan pelbagai kontroversi terutama dari aspek pengadilan,” ujar Ting.

Katanya, pertandingan wushu di peringkat dunia sangat kompetitif di mana pemenang ditentukan dengan perbezaan sehingga 0.01 mata.

“Perkara ini akan menimbulkan keraguan terhadap pengadilan berat sebelah dan penganjur perlu memastikan semua peraturan dipatuhi sepenuhnya,” tambah beliau.

Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Sunny Si pula menyifatkan ia satu cadangan yang cukup baik sambil menambah persatuan telah menanam impian selama 30 tahun untuk melihat boling dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.

Bagi Presiden Persatuan Sofbol Sarawak (SSA), Ishak Chin Abdullah ia berita yang amat menggembirakan pihaknya.

“Inisiatif yang sangat positif untuk sofbol jika sukan ini dipertandingkan semula pada Sukan Olimpik 2020.

“Ia jelas membuktikan sofbol semakin popular dan dimainkan secara aktif di seluruh dunia. Kita berharap Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) mengiktiraf dan membantu persatuan membangun dan mempromosi sofbol di Sarawak,” katanya.

Penganjur Sukan Olimpik 2020 Tokyo mendedahkan pada Isnin lalu senarai acara sukan yang dicadangkan untuk dipertandingkan pada temasya terbesar itu.

Selain wushu, boling dan sofbol acara lain yang tersenarai termasuk karate, skuasy, luncur air, sukan mendaki dan sukan beroda.

Penganjur akan mencadangkan sukan pilihan mereka pada 30 September ini sebelum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengambil keputusan terakhir pada Ogos 2016.