Jangan bawa budaya negatif

0

Penyokong dinasihat patuhi peraturan, tidak cetus huru-hara semasa perlawanan

Oleh Nick Fletcher //

PATUHI PERATURAN: Roslan (tengah) bercakap kepada pemberita ketika ditemu ramah di Kuching semalam.

PATUHI PERATURAN: Roslan (tengah) bercakap kepada pemberita ketika ditemu ramah di Kuching semalam.

KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek mengingatkan penyokong bola sepak di sini supaya tidak membawa budaya negatif semasa menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan negeri di stadium.

Tegas beliau, setiap penonton perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan di stadium seperti tidak membawa suar, bunga api dan mercun serta menimbulkan huru-hara.

“Bola sepak seharusnya dijadikan satu aktiviti sihat yang orang suka, seronok dan mendatangkan kebaikan.

“Tetapi sekarang apabila perlawanan bola sepak, ramai polis kena pergi ke stadium meninggalkan tugasan lain untuk menjaga stadium kerana takut perlawanan bola sepak itu menjadi huruhara,” katanya.

Jelas beliau, perkara yang tidak diingini seperti itu telah berlaku lagi baru-baru ini di mana terdapat penyokong telah membakar suar, bunga api dan mercun semasa menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Sarawak di Stadium Negeri.

Bagaimanapun, katanya, individu yang melakukan kesalahan itu tidak bernasib baik di mana dia membakar mercun betul-betul di hadapan polis CID menyebabkan dia ditangkap.

“Walaupun ketika itu tidak ramai penonton, namun masih berlaku pembakaran suar, bunga api dan mercun.

“Ekoran itu, polis telah menangkap seorang daripada mereka yang terlibat serta menemui mercun di dalam poketnya dan dia telah didakwa di mahkamah kelmarin,” katanya.

Justeru, Roslan berharap agar perkara seperti itu tidak berlaku lagi pada perlawanan akan datang iaitu dijangka pada 27 Jun ini.

“Kita menyaksikan bola sepak untuk berseronok dan bukan mengundang musibah atau huru-hara.

“Pada perlawanan 27 Jun nanti, saya berharap semua penyokong akan memberi kerjasama dengan menjaga keharmonian dan tidak membawa budaya negatif,” katanya.