505 kes dadah sudah disabit kesalahan

0
LUPUS: Anggota JSJN IPD Kuching membawa masuk kesemua kertas siasatan serta barang kes tersebut untuk dilupuskan di Tapak Pelupusan Bersepadu Sisa Pepejal.

LUPUS: Anggota JSJN IPD Kuching membawa masuk kesemua kertas siasatan serta barang kes tersebut untuk dilupuskan di Tapak Pelupusan Bersepadu Sisa Pepejal.

KUCHING: Sebanyak 505 kes daripada 3,499 tangkapan yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak sejak Januari hingga 24 Jun tahun ini sudah dibawa ke mahkamah dan disabit kesalahan.

Ketua JSJN Negeri Superintenden Lukas Aket berkata hukuman bagi kesemua kes tersebut melibatkan hukuman penjara dari dua bulan hingga 18 tahun, lima sebatan dan denda antara RM1,500 hingga RM7,000.

“Setakat Januari hingga 24 Jun 2015, sebanyak 3499 tangkapan terdiri daripada kes bekalan sebanyak 159 tangkapan diikuti oleh kes memiliki dadah sebanyak 1006 dan selebihnya adalah kes urin,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh tersebut pihaknya berjaya merampas ganja seberat 2,024.29 gram, syabu 1,478.1 gram, ketamin 428.44 gram, ekstasi atau pil kuda 2,759.7 gram dan 977 biji pil, eramin 5 hingga 500 biji pil, yaba 0.66 gram dan sebiji pil, dan nospan 13,741 biji pil.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kuching di Jalan Badruddin di sini semalam.

Sebelum sidang akhbar diadakan, JSJN melancarkan program untuk melupuskan pelbagai barang yang disita dalam 548 kes dari 2007 hingga 2013 sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan.

Tiga kontinjen polis di Malaysia terlibat dalam program pelupusan itu adalah Sarawak, Perak dan Pulau Pinang.

Di Sarawak sahaja, bahagian yang terlibat adalah Kuching, Miri, Kota Samarahan dan Sri Aman.

Beliau memohon orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihaknya memerangi penyalahgunaan dadah.

“Dadah masih musuh nombor satu di Malaysia. Saya menggesa kepada orang ramai agar memberi maklumat kepada kami. Mereka tidak perlu bimbang kerana identiti pemberi maklumat sentiasa dirahsiakan,” katanya.

Beliau menambah mereka yang tahu mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menghubungi mana-mana balai polis di seluruh negeri.