Jangan tangkap atau bunuh pasangan burung kenyalang

0
JANGAN DIUSIK: Pasangan Jimmy dan Juliet dilihat hinggap di sebuah bangunan di Piasau Jaya Fasa II, Rabu lepas.

JANGAN DIUSIK: Pasangan Jimmy dan Juliet dilihat hinggap di sebuah bangunan di Piasau Jaya Fasa II, Rabu lepas.

KUCHING: Orang ramai khususnya di sekitar bandar raya Miri diberi amaran supaya tidak sesekali cuba menangkap atau membunuh pasangan burung kenyalang yang dilihat berterbangan di sekitar bandar raya itu.

Ini kerana menurut Timbalan Pengerusi Tanah Rizab Semula Jadi Kem Piasau (PCMNPS) Miri Musa Musbah pasangan burung kenyalang Oriental Peid itu merupakan spesies terlindung sepenuhnya dari Taman Kenyalang Kem Piasau.

“Burung kenyalang yang kelihatan berterbangan dan hinggap di beberapa bangunan di Piasau Jaya Fasa II kelmarin (24 Jun) merupakan pasangan Jimmy dan Juliet.

“Kedua-dua burung ini telah terbang keluar dari Taman Kenyalang Kem Piasau dan kami berharap orang ramai yang terlihat kelibat burung ini tidak akan cuba menangkap atau membunuhnya.

“Kita tidak mahu insiden yang menimpa Faridah, pasangan kepada Jimmy yang mati dibunuh kembali berulang kepada Jimmy dan pasangan baharunya Juliet,” katanya ketika dihuhungi kelmarin.

Tambah Musa yang juga pengerusi Persatuan Alam Malaysia (MNS) Cawangan Miri, kedua-dua burung itu terbang sejauh 1,200 meter dari sarangnya yang terletak di Kem Piasau.

Sebelum ini, media digegarkan dengan penemuan burung kenyalang bernama Faridah yang mati dibunuh selepas terbang keluar dari sarangnya pada 24 September 2013.

Pembunuhan Faridah itu telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak terutama pengikut dan peminat pasangan burung ini seramai lebih daripada 2,000 orang.

Susulan kematian Faridah, Jimmy dilihat mengalami kemurungan sehingga kemunculan pasangan baharunya Juliet dan telah melahirkan dua anak iaitu Cecelia dan Musa yang kini telah berusia tiga bulan.

Dalam pada itu mereka yang didapati cuba menangkap burung terlindung ini boleh didakwa di bawah Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 (1) (C) akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda RM25,000.