Pasar Lama Mukah semakin selesa selepas naik taraf

0

MUKAH: Pasar Lama Mukah atau dikenali sebagai pasar basah oleh penduduk di sini kini berkembang dan membesar selepas proses naik taraf pasar itu sejak dua bulan lepas.

Tinjauan Utusan Borneo di sini mendapati suasana harian pasar sentiasa sibuk dengan kunjungan pengunjung membeli keperluan harian.

Seorang pengunjung Peter Johnson, 27, berkata naik taraf itu merupakan sesuatu yang perlu dilakukan kerana kapasiti peniaga semakin bertambah.

Katanya ia sedikit sebanyak memberi ruang kepada peniaga untuk berniaga dalam keadaan yang lebih selesa selepas pasar tersebut diperbesarkan.

“Tidak seperti sebelumnya, keadaan sempit di sini tidak memberi keselesaan kepada peniaga mahupun pengunjung. Kini banyak perubahan dapat dilihat di pasar ini seperti lantai diperbaharui di kawasan luar dan pasar semakin besar, maka pengunjung tidak perlu berhimpit-himpit semasa membeli,” katanya.

Menurut seorang peniaga dikenali sebagai Koo, sebelum penaiktarafan, kawasan penjualan barang mentah seperti ikan terpaksa berpindah ke tapak bersebelahan pasar besar tersebut.

Katanya ia mengambil masa lebih dua bulan untuk kerja naik taraf di sini.

“Kini semua peniaga ditempatkan semula di tempat seperti sedia kala kerana sebelum ini, kami ditempatkan di kawasan peniaga pasar minggu,” ujarnya.

Dalam pada itu, naik taraf masih dilakukan di pasar tersebut bagi memperluas kedai kopi berhampiran di Pasar Lama Mukah.