Penduduk Betong kecewa masalah longgokan sampah tiada penyelesaian

0

BETONG: Penduduk Betong kecewa dan merungut berhubung masalah sampah yang tidak dipungut mengikut jadual sepanjang tahun ini malah tidak mendapat respons serius daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keadaan begitu menjijikkan apabila sampah tidak dipungut mengundang bau busuk kerana sampah berulat termasuk sampah bertaburan di luar tempat sampah kerana sekumpulan anjing liar yang menyelongkar tempat pembuangan itu.

Malah tong sampah yang dibekal PBT kepada penduduk tidak lagi mencukupi dengan longgokan sampah begitu banyak kerana kontraktor yang ditugas hanya memungut sampah dua minggu sekali.

Menurut penduduk, kontraktor dilantik hanya menyedia dua jentera pengangkut sampah untuk membuang sampah di sekitar Betong tetapi hanya sebuah sahaja yang tertugas manakala sebuah lagi jentera pengangkut sampah tersadai silih berganti di bengkel.

Masalah bukan sahaja mengakibat penduduk kampung terdedah dengan bau busuk malah masalah yang sama berlaku di tamah perumahan, rumah panjang, kediaman kerajaan serta kawasan sekolah.

Kata mereka, laporan juga telah dibuat kepada PBT namun tindakan cuma berlaku jika ada laporan dan masalah yang sama berterusan seperti sediakala.

“Takkan jika ada laporan sahaja bertindak, mana jadual mereka? Jangan kerja umpama melepas batok di tangga. Keadan ini mengancam kesihatan kami dan penduduk di sini,” keluh seorang guru sebuah sekolah yang merungut masalah sampah lewat dipungut di kawasan kediaman guru.

Bagi penduduk di kawasan kediaman kerajaan, laporan demi laporan sering dibuat tetapi masalah sama sering berulang.

“Bermacam-macam kaedah diguna untuk meluahkan masalah ini. Lapor terus kepada PBT hingga luahan di media sosial oleh penduduk yang tidak berpuas hati. Tidakkah cara lain untuk mengelak daripada keadaan ini?

“Atau cari kontraktor lain lebih bertanggungjawab bagi mengatasi masalah berulang. Takkanlah PBT kalah dengan kontraktor begini atau ada udang di sebalik batu?” rungut penduduk di sini.