Rekod keluar masuk duit MRP elak penyelewengan

0

Oleh Ambrose Rirang//

 

TATAU: Penerima bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di daerah ini disaran agar merekod segala urusan keluar masuk duit bantuan dengan jawatankuasa dilantik khas untuk mengelak sebarang penyelewengan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai menjelaskan, setiap akaun diguna pakai bagi menyimpan duit MRP hendaklah sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Kemuka dan sertakan resit yang diguna bagi membeli barangan bersama supaya semua pihak berpuas hati. Ada desas-desus mengatakan wujudnya isu penyelewengan duit MRP seperti mengeluarkan duit dari akaun bersama secara berlebihan dan membazir,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa menyampaikan sumbangan MRP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Kakus yang diadakan bertempat di Pejabat Daerah Tatau, di sini pagi semalam.

Katanya, jangan sesekali membelanja peruntukan MRP untuk tujuan peribadi yang bertentangan prinsip asas sesebuah komuniti kerana ia adalah untuk kegunaan bersama, bukannya kepentingan perseorangan.

Dalam majlis berkenaan, sebanyak RM802,000 disampai kepada 33 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) kawasan Kakus.

Sikie menjelaskan, semua jawatankuasa dilantik khas mengendali wang bantuan harus selalu duduk berbincang bagi memastikan duit diguna bagi tujuan memberi faedah kepada sesebuah komuniti itu supaya ia mendatang manfaat buat semua.

Pada masa sama katanya, setiap akaun bersama harus sentiasa dikemas kini setiap kali urusan pengeluaran bagi memastikan amaun diguna serta baki akaun diketahui termasuk mengelak berlakunya penyelewengan.

“Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat masalah nombor akaun bersama yang tidak tepat menyebabkan masalah kelewatan penyaluran bantuan, tetapi ia bukan masalah besar kerana wakil penerima boleh memberi nombor akaun yang baharu kepada pihak berkaitan dalam mengendali urusan pemberian geran itu,” katanya.

Beliau turut menasihat semua penerima geran agar memanfaat sebaik-baiknya dana disalur bagi kepentingan bersama serta mendatangkan faedah buat keseluruhan JKKK di sesebuah rumah panjang atau kampung, ahli persatuan dan penerima yang lainnya.

“Seboleh-bolehnya, bantuan disalur itu harus dimanfaat bagi menjalankan aktiviti yang dapat mengerat lagi silaturahim sesama ahli persatuan, memperbaiki kemudahan dan prasarana yang rosak dan sebagainya,” jelas beliau lagi.

Pegawai DaerahTatau, Nyura Keti dan Penghulu Valerie Manyie antara yang hadir pada majlis berkenaan.