Rumah ibadah perlu selamat digunakan

0

Oleh Rusnan Mustafa//

 

SADONG JAYA: Jawatankuasa masjid dan surau perlu peka terhadap struktur bangunan lama rumah ibadah yang memerlukan penaiktarafan agar selamat digunakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, keadaan struktur bangunan lama masjid dan surau boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat Islam terutamanya warga emas sekiranya ia tidak dinaik taraf.

Merujuk perkara itu, beliau memberitahu Masjid Nurul Huda, Kampung Ensengei Melayu di Sadong Jaya masih kekal dengan struktur bangunan lama yang dilihat tidak lagi sesuai untuk penduduk di situ.

“Kita lihat keadaan masjid ini, ia sudah lama dan menyukarkan penduduk Islam di sini untuk menunaikan ibadah kerana masih kekal struktur bangunan lama sekali gus menyulitkan warga emas untuk menaiki tangga yang agak tinggi.

“Sekiranya keadaan struktur bangunan masjid ini tidak dinaik taraf saya yakin penduduk terutamanya warga emas tidak akan datang ke sini untuk beribadah kerana berbahaya dan tidak selamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada Masjid Nurul Huda dan golongan ibu tunggal, warga emas serta anak yatim di Kampung Ensengei Melayu di sini semalam.

Justeru, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong meminta jawatankuasa masjid itu bekerjasama dengan penduduk kampung bagi memohon peruntukan daripada kerajaan untuk membina semula masjid di situ.

“Keadaan masjid yang tidak mesra jemaah ini akan menyebabkan suasana rumah ibadah ini sunyi kerana jumlah jemaahnya berkurangan disebabkan perkara ini,” tambahnya.

Jelasnya lagi, banyak inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri untuk pembangunan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Pada majlis itu, Nancy menyampaikan sumbangan kepada 47 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan anak yatim.