Gadai nyawa demi rakan, remaja lelaki mati lemas

0
HIBA: Keadaan sedih menyelubungi ketika mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari kawasan pangkalan.

HIBA: Keadaan sedih menyelubungi ketika mayat mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari kawasan pangkalan.

Mangsa bersama lima rakan melepak selepas sahur

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dipercayai mati lemas setelah berjaya menyelamat rakannya terjatuh di pangkalan muara sungai Kuala Baram di sini awal pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa bersama lima rakannya duduk lepak di tepi pangkalan itu pada jam 5.26 pagi selepas waktu sahur.

Bagaimanapun, tiba-tiba salah seorang daripada mereka tertekan gear motosikal dan menjunam ke dalam air bersama-sama motosikal berkenaan.

Mangsa dipercayai tidak pandai berenang berusaha menyelamat rakan yang terjatuh yang ke dalam sungai.

Setelah berjaya menyelamat rakannya, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila cubaannya untuk berpaut pada tiang pangkalan terlepas pegang akibat keletihan.

Pihak polis dan bomba yang telah dimaklumkan mengenai tragedi itu melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa sejurus selepas kejadian.

Berdasar maklumat diterima, mayat mangsa ditemui lebih kurang 9.05 pagi, kira-kira 100 kaki dari kawasan pangkalan tempat kejadian.