Jamboree Bola Keranjang 3-on- 3 Festival Kuching pada 2 Ogos

0

KUCHING: Jamboree Bola Keranjang 3-on-3 Sports Toto Festival Kuching diadakan pada 2 Ogos depan mendapat suntikan tajaan berjumlah RM25,000 dari Sports Toto Malaysia Sdn Bhd.

Majlis penyerahan tajaan tersebut berlangsung dengan MBKS diwakili Datuk Bandarnya, Datuk James Chan.

Chan merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Sports Toto kerana sekali lagi menaja pertandingan bola keranjang tahunan itu.

Untuk rekod, Sports Toto telah menjadi penaja utama pertandingan bola keranjang sejak Piala Datuk Bandar diperkenalkan pada 1993.

“Untuk pertandingan ini, saya mengharapkan lebih ramai penyertaan daripada golongan remaja pelbagai kaum,” katanya ditemui pada majlis tersebut.

Chan berkata, bola keranjang bukan sekadar sukan memenuhi aktiviti riadah tetapi boleh menjadi landasan mempromosi budaya sihat kalangan masyarakat.

Hadir sama Pengurus Komunikasi Sports Toto, Giam Say Khoon, Eksekutif Jualan Kawasan Kuching, Helen Tan Puay Cheng, Eksekutif Wilayah Malaysia Timur, Lilia Chong dan Kaunselor MBKS, Sim Thong Poh.

Pertandingan tersebut akan diadakan di ruang legar Dewan MBKS.

Kategori dipertandingkan ialah Terbuka Lelaki Bukan Cina, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 12, 16, 20 tahun dan wanita Bawah 12 dan 16 tahun.

Bagi memeriahkan pertandingan itu, penganjur turut mempertandingkan Kejohanan Bola Keranjang Jemputan dan Pertandingan Menembak Mesra 3 Points.

Tarikh tutup penyertaan pada 30 Julai depan, jam 4 petang.

Mereka berminat boleh menghubungi MBKS di talian 082 354255 atau Lim Kaa Kuan (013 8567287).

Borang pendaftaran boleh diperolehi di Kaunter D, Kaunter One Stop, MBKS, Jalan Padungan.