56 keluarga memohon tapak kediaman tetap

0

MIRI: Seramai 56 keluarga di kediaman setinggan, Kampung Baru Pujut Tujuh memohon tapak kediaman tetap daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ding Lah menyerahkan senarai nama pemohon kepada Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk dirujuk kepada Jabatan Tanah dan Survei.

UPP diwakili Pengerusi UPP Pujut Kaunselor Bruce Chai, Pengerusi UPP Senadin, Kaunselor Keith Chin dan Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga Pengerusi Wanita UPP Senadin Suzanne Lee pada Majlis Ngiling Bidai di sini semalam.

Kampung berkenaan terletak di simpang masuk kiri sebelum jambatan Pujut Tujuh iaitu perjalanan menuju Permyjaya.

“Lebih 300 penduduk mendiami kampung itu lebih 30 tahun lalu.

“Kami tidak mempunyai banyak kemudahan. Kami tidak ada bekalan elektrik.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran wakil rakyat dan parti politik melawat kampung dan melihat sendiri kehidupan penduduk di sini,” jelasnya.

Ding berkata penduduk sanggup ditempatkan semula ke kediaman baharu sekiranya kediaman mereka tidak menerima status kampung.

Katanya lokasi kampung terletak berdekatan bandar boleh dijadikan faktor untuk kerajaan menaik taraf status kediaman mereka sebagai kampung kekal.

Bruce dan Keith melawat kediaman berkenaan dua hari lalu setelah menerima aduan penduduk kepada Pusat Khidmat Majulah Miri.

“Saya bukan sahaja mewakili UPP, tetapi turut mewakili Majulah Miri dan sebagai kaunselor.

“Kami cuba membantu sedaya upaya penduduk di sini. Kami di pihak Barisan Nasional (BN) berkhidmat membantu rakyat,” jelasnya.

Bruce berkata, penyerahan senarai nama itu adalah langkah pertama dan mahu penduduk bersabar kerana proses permohonan tanah daripada kerajaan negeri memerlukan masa untuk diluluskan.

Tentang masalah kanak-kanak masih belum bersekolah kerana faktor kemiskinan, Bruce merujuk masalah itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan bantuan.